My Best

Selasa, 5 April 2011

Kegagalan tidak menjadikan anda seorang yang gagal sekiranya anda tidak berputus-asa untuk mencuba lagi.

Perkara paling penting apabila berhadapan dengan keadaan yang kurang menyenangkan adalah dengan memberikan perhatian terhadap apa yang perlu dibuat selepas ini,bukannya mencari-cari- apa silapnya.
 
 Salah satu kesilapan besar yang boleh kita lakukan dalam hidup ini adalah sentiasa takut untuk melakukan kesilapan

Pengharaman poco-poco undang pelbagai perspektif

Majlis Fatwa Kebangsaan tiada cadangan mengharamkan tarian, sedia laksana kajian menyeluruh

"BALENGGANG pata-pata, (jalannya berlenggang) ngana pe goyang... pica-pica, (goyangan badan mu... lincah), ngana pe bodi... poco-poco, (tubuhmu yang berisi dan lincah), cuma ngana yang kita cinta, (hanya kamu yang ku cinta), cuma ngana yang kita sayang, (hanya kamu yang ku sayang), cuma ngana suka bikin pusing (hanya kamu suka buat aku pening)".

Itu antara lirik lagu poco-poco, mengiringi tarian atau senaman poco-poco yang mencetuskan fenomena baru di negara ini hingga ia diharamkan di Perak baru-baru ini oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri.
Penulis lirik lagu ini, Arie Sapulette berasal dari Ambon, Indonesia menciptanya untuk seorang gadis montel yang memikat hatinya mungkin tidak menyangka ia menjadi popular bukan saja di negaranya bahkan hampir seluruh nusantara, termasuk Malaysia. Lagu pengiring utama tarian itu dinyanyikan penyanyi terkenal Indonesia, Yopie Latul. Poco-poco bermaksud gempal dalam bahasa Manado.

Jika lagunya berasal dari Indonesia gerak tarinya pula dikatakan berasal dari Filipina. Ia ditarikan oleh penganut Kristian setiap Ahad di gereja. Formasi gerak tarinya yang melenggang lenggok dengan langkah diatur bermula dua kali ke kiri, dua kali ke kanan, ke belakang dan ke depan menimbulkan kontroversi hingga menjadi punca ia diharamkan di Perak.

Gerakan tarian itu dikatakan membentuk lambang salib. Lebih menggerunkan maksud poco-poco itu dikatakan memuja roh menurut kamus Jamaica. Pengharaman itu sudah pasti mengejutkan pengamal dan penggemar tarian itu di seluruh negara apatah lagi apabila mereka lebih menganggap gerak tari itu sebagai satu gerakan senaman.

Persoalannya, pengharaman itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat negeri lain. Kenapa hanya satu negeri saja yang mengharamkan sedangkan tarian atau senaman ini diamalkan di seluruh negara? Setakat ini, Jawatankuasa Fatwa negeri lain masih belum memutuskan hukum ke atas tarian yang lebih dilihat berbentuk riadah oleh pengamalnya.
Bukan hukum yang menjadi pertikaian, tetapi penguatkuasaan sesuatu hukum itu. Sejak mutakhir ini, kebanyakan fatwa yang membabitkan isu kebangsaan hanya diharamkan di negeri tertentu saja.

Ia tidak diseragamkan dan ini menyukarkan umat Islam untuk menentukan sama ada mereka perlu mengikut hukum berdasarkan negeri atau sebaik saja memasuki sempadan negeri lain secara automatik individu itu perlu mematuhi apa juga undang-undang agama yang ada di negeri terbabit.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman, berkata seharusnya perkara yang membabitkan isu nasional dibawa ke peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan untuk dibincang dan dikaji selidik untuk menentukan kedudukan sebenar perkara itu.

Beliau berkata, setiap fatwa yang dikeluarkan memerlukan kajian teliti dan mendalam. Ini lebih memudahkan agar tidak timbul percanggahan antara mufti, namun beliau tidak mempertikaikan kajian yang dilakukan Jawatankuasa Fatwa Perak.

“Jika tidak ada apa-apa pasti ia dibenarkan kerana setiap sesuatu itu pada asalnya dibenarkan kecuali jika ada dalil yang mengatakan ia tidak boleh dilakukan, maka dengan itu ia tidak boleh diteruskan,” katanya.

Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid turut bersetuju dengan Mufti Pahang kerana isu poco-poco adalah isu kebangsaan dan bukannya isu tempatan. Tambahan pula ia adalah cerita yang sudah lama sama seperti silat gayung dan beberapa tarian yang diamalkan masyarakat di negara ini yang perlu diperhalusi sifatnya sebelum menentukan hukumnya.

“Isu nasional seharusnya dibawa pada peringkat kebangsaan untuk dibincangkan. Ahli majlis fatwa kebangsaan terdiri daripada mufti negeri dan ahli akademik yang bertauliah. Biar ia didengar terlebih dulu apa isu atau pun perkara sebenar.

“Dibincang, dikaji dan seterusnya biarlah Majlis Fatwa Kebangsaan menentukan sama ada ia sesuai untuk difatwakan atau ditolak. Seterusnya barulah perkara ini dibawa ke peringkat negeri masing-masing untuk dibincangkan kembali sama ada untuk diguna pakai atau tidak,” katanya.

Mengulas lanjut gerak tari poco-poco Tamyes berkata, jika ia membabitkan soal akidah dan syariat, maka ia adalah perkara pokok dan tidak boleh dipandang ringan, tetapi seandainya ia lebih berbentuk senaman dan meninggalkan perlakuan yang diragukan, maka ia boleh diteruskan.

“Jika ia satu bentuk riadah, ia amat sesuai kerana Islam menggalakkan umatnya hidup dengan gaya sihat. Kesihatan itu umpama mahkota setiap orang. Saya tidak mengatakan apa yang sudah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak salah kerana mungkin mereka sudah membuat kajian kerana ahli jawatankuasa mereka terdiri daripada pihak yang arif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak Majlis Fatwa Selangor kemungkinan akan bersidang dalam masa terdekat dan akan membawakan hasil perbincangan Majlis Fatwa negeri kepada Majlis Fatwa Kebangsaan.

Katanya, Selangor pada amalannya juga pasti akan memaklumkan Sultan Selangor untuk menentukan sesuatu isu itu sesuai untuk difatwakan atau tidak kerana baginda adalah ketua agama.

Sementara itu, seorang pengamal poco-poco yang hanya mahu dikenali sebagai Salmah berkata, sekalipun bermastautin di Selangor beliau menghentikan amalan tarian itu kerana berasakan ia adalah arahan agama sekalipun negerinya tidak mengeluarkan apa-apa fatwa berkaitan isu terbabit.

“Saya sebenarnya tidak tahu tarian yang dianggap sebagai satu senaman itu menyalahi hukum agama. Apa yang kami sebagai suri rumah lakukan hanyalah untuk beriadah dan mengisi waktu senggang selepas menyelesaikan tugasan di rumah. Lagipun niat utama kami adalah untuk bersenam, tidak perasaan gerak tarinya itu menyerupai salib,” katanya.

Seorang lagi peminat poco-poco, Faridah Ahmad berkata, kebanyakan aktiviti poco-poco adalah untuk tujuan senaman. Ia juga sebagai satu alternatif untuk menurunkan berat badan kerana pergerakannya mudah berbanding senaman lain yang tidak sesuai dilakukan, terutama oleh mereka yang berusia.

“Kebanyakan kami melakukannya bersama rakan perempuan di rumah mengikut giliran atau bilik tertutup sambil berkaraoke tanpa membabitkan percampuran antara lelaki dan wanita. Bila ada pihak yang mengatakan ia haram kami agak terkilan, tetapi memandangkan ia hukum agama kami tidak boleh membantah, cuma kami tertanya sama ada hendak meneruskan atau tidak kerana negeri kami tidak haramkan,” katanya.

Bagaimanapun, Majlis Fatwa Kebangsaan dilaporkan bakal menjalankan kajian terperinci berhubung gerak tari poco-poco sebelum ia dibincangkan dalam mesyuarat akan datang.

Pengerusinya, Prof Tan Sri Dr Abdul Shukor Hussin, berkata ketika ini tiada cadangan mengharamkan tarian berkenaan, walaupun pengharaman itu dilaksanakan di Perak.

Beliau menegaskan pihaknya perlu berbincang dengan jawatankuasa berkenaan terlebih dulu sebelum perkara itu dibawa ke dalam mesyuarat.

“Bagi saya isu ini tidak serius untuk dapatkan keputusan segera. Banyak lagi perkara penting lain yang perlu dibincangkan. Kami juga akan mengadakan kajian dan melihat hasil kajian secara menyeluruh.

“Apa diputuskan di Perak tertakluk kepada negeri itu saja. Pada peringkat Persekutuan, ia belum diharamkan,” katanya.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Award

create your own banner at mybannermaker.com!